Friday, 12 October 2012

Orang Utan Togel?


Gambar hiasan

Hari ini aku rasa malas sangatuntuk melakukan sebarang aktiviti. Dari pagi hinggalah ke tengah hari aku masih lagi berbaring di atas katil. Perut yang bernyanyi rancak aku biarkan sahaja. Tiba-tiba aku rasa teringin pula hendak makan cucur udang tetapi apabila terfikirkan taugeh di dalamnya, aku jadi tidak berselera. Sejak  kecil lagi aku tidak sukakan rasa taugeh yang ada di dalam cucur udang kerana rasanya yang agak mentah. Apabila aku fikirkan tentang taugeh fikiranku mula teringat kembali pada pembacaanku tidak lama dulu. Seingatku aku membacanya di halaman sebuah akhbar berkenaan seekor orang utan. Aku tidak pasti nama sebenar orang utan tersebut jadi aku letakkan di sini sebagai Aru. Tajuknya lebih kurang berbunyi begini ‘Si Aru orang utan yang togel’. Artikel tersebut adalah berkenaan seekor orang utan yang sudah gugur bulunya akibat dimamah usia. Sememangnya gambar pada artikel tersebut jelas menunjukkan orang utan tersebut telah gugur semua bulunya sehingga menyebabkan dia menjadi tumpuan orang ramai yang datang ke situ kerana ia kelihatan lain daripada orang utan yang lain.

Pada mulanya aku menganggap perkataan togel membawa maksud yang sama dengan perkataan bogel iaitu tidak berpakaian. Semua binatang termasuk orang utan tidak berpakaian tetapi anggapanku penulis cuba menyamakan pakaian manusia itu dengan bulu pada orang utan. Namun, setelah aku semak semula di dalam kamus dewan, perkataan togel sebenarnya membawa maksud tidak berekor. Maksud ini jelas terpesong jauh dari maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis tersebut. Artikel yang pada awalnya ingin menekankan tentang keguguran bulu orang utan akibat usia yang semakin meningkat bertukar menjadi orang utang yang tidak berekor padahal orang utan tersebut normal. Namun, apabila difikirkan kembali patutkah tajuknya ditukar kepada orang utan yang bogel, sedangkan kenyataannya orang utan memang tidak berpakaian? Aku menjadi keliru. Sama-samalah kita fikirkannya. Wassalam…

No comments:

Post a Comment