Saturday, 6 October 2012

Mai Belajaq Dialek Kedah


Hari ini aku ingin berkongsi serba sedikit berkenaan kata penguat adjektif dalam dialek yang dituturkan di negeri kelahiranku, Kedah. Ramai yang beranggapan bahawa dialek Kedah adalah salah satu gaya pertuturan yang kasar. Hal ini kerana sebutan perkataan yang mengandungi huruf ‘r’ di akhir perkataannya ditukar menjadi ‘q’. Contohnya:
                       
BAHASA BAKU
DIALEK KEDAH
lapar
lapaq
air
ayaq
tidur
tidoq
sayur
sayoq
bakar
bakaq
samar-samar
samaq-samaq

Dialek Kedah bukan hanya menukar perkataan yang berakhir dengan huruf ‘r’ sahaja malahan terdapat juga perkataan yang telah ditukar ke dalam dialek Kedah. Contohnya:

BAHASA BAKU
DIALEK KEDAH
beritahu
habaq
pergi
pi
kenapa
awat

Apabila kita menyebut kembali perkataan-perkataan di atas memang jelas yang bunyinya kedengaran agak kasar berbanding sebutan asalnya (baku). Namun bukan itu yang aku ingin ketengahkan di sini tetapi ingin menyentuh tentang kata penguat adjektif yang terdapat dalam dialek Kedah. Berikut aku sertakan beberapa contoh kata penguat adjektif yang terdapat di Kedah beserta huraian maknanya:

KATA PENGUAT ADJEKTIF
HURAIAN
pedas menyerit
pedas sangat-sangat (cth:cili)
manis melecaih
manis sangat-sangat (cth: air tebu)
masin piaang
masin sangat
pahit berdengung
pahit sangat-sangat (cth:ubat)
besaq gedabak
sangat besar
gelap gelemat
gelap sangat hingga tidak dapat lihat apa-apa
panas lit-lit
panas sangat. biasanya digunakan untuk waktu tengah hari
hitam merelit
hitam berkilat (cth: macam bontot kuali)
hijau merengau
hijau yang sangat terang
merah ang
merah yang sangat terang
tinggi merenjong
keadaan fizikal seseorang yang sangat tinggi
kecik konet
sangat kecil
sejuk gedi
sejuk sangat-sangat
busuk merengak
bau yang sangat busuk (cth: sampah)
tawaq hebiaq
tawar atau tiada rasa (cth: kari tawar)
besaq ragam
keadaan fizikal seseorang yang besar dan tinggi

Kesimpulannya aku harap rakan-rakan sekalian dapat mempelajari dan memahami dialek Kedah. Kita hendaklah mendalami sesuatu sebelum membuat rumusan. Begitulah juga dengan dialek negeri Kedah. Walaupun kedengaran agak kasar ketika menuturkannya namun kita haruslah mendalamai dan memahami dahulu barulah boleh mengatakan sama ada dialek Kedah ini kasar atau pun tidak. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Bagi aku, dialek Kedah sama sahaja dengan dialek-dialek yang lain iaitu mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Wassalam           


Friday, 5 October 2012

Diterangkan Menerangkan


Hari ini aku ingin menyentuh berkenaan hukum D-M. D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini unsure yang diterangkan itu merupakan unsure inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsure penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Contoh perkataan yang mengikut hukum D-M adalah seperti berikut:
                        Jentera pendingin                                Askar melayu
                        Serbuk perasa                                      Sahudin tukang kasut
                        Kelapa sawit
Mengikut hukum ini penggunaan unsur-unsur frasa nama yang bertentangan dengan peraturan D-M adalah salah dan tidak dapat diterima. Contohnya:
                        Makanan Laut Restoran                      KOh Klinik
Kerinting Rambut Salon        
Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini aku sertakan kesalahan hukum D-M beserta pembetulannya:
Salah
Betul
Cili sos
Mini perpustakaan
Zaleha Restoran
Jaya Klinik
Sos cili
Perpustakaan mini
Restoran Zaleha
Klinik Jaya

Namun begitu, terdapat juga kekecualian dalam hukum D-M iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan mendahului unsur yang diterangkan. Contohnya:
                        Perdana manteri                                  dua orang calon
                        Puan Juriah                                          pembantu penyelidik



Thursday, 4 October 2012

Khalayak atau Khayalak?


Minggu ini bermulalah kekalutan dalam menyiapkan perbentangan kerana semua subjek memilih minggu keempat untuk memulakan perbentangan. Nasib aku agak baik semester ini kerana kumpulan aku rata-ratanya memperoleh giliran yang agak lambat untuk membuat perbentangan. Selalunya kumpulan akulah yang dipilih sebagai kumpulan pertama yang membuat perbentangan. Sekurang-kurangnya kumpulan aku mempunyai lebih masa untuk menyiapkan semua tugasan.

Aku dan kawan-kawanku hanya menjadi pemerhati pada minggu ini kerana giliran kami lambat lagi. Sedang khusyuk aku mendengar perbentangan yang dibuat oleh kumpulan lain tiba-tiba aku terdengar pembentang itu menyebut perkataan ‘khayalak’. Aku dan kawan-kawanku saling berpandangan dengan muka yang sangat lucu. Maklumlah masing-masing menahan tawa dari terlepas. Takut terganggu perbentangan yang dijalankan. Bukan pertama kali aku mendengar penutur menuturkan perkataan ‘khalayak’ menjadi ‘khayalak’. Malahan aku sendiri juga kadang-kadang tersasul ketika menyebut perkataan itu terutamanya ketika bercakap dengan laju. Aku tertanya-tanya apa yang menyebabkan ramai dalam kalangan kita tertukar perkataan ‘khalayak’ menjadi ‘khayalak’ padahal dalam kamus dewan tidak wujud pun perkataan khayalak. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan khalayak didefinisikan sebagai orang ramai, umum, pembaca, pendengar atau penonton sesuatu ciptaan sastera atau seni. Perkataan ‘khayalak’ pula tidak wujud langsung dalam Kamus Dewan.

Dari manakah kita memperoleh perkataan ‘khayalak’ tersebut? Persoalan itu terus tidak mendapat jawapan khusus hingga kini. Jadi aku menganggap sikap kita sendiri yang menyebabkan kita tersilap sebutan semasa bercakap. Sikap di sini bermaksud sikap kita yang sering membalikkan perkataan menyebabkan kita terbiasa menyebaut perkataan tersebut secara salah. Contohnya; perkataan ‘confident’ ditukar menjadi ‘condifent’, 'gajus' ditukar menjadi 'jagus' dan banyak lagi. Pada aku, berkemungkinan ini adalah salah satu sebab kita selalu tertukar perkataan dan bunyinya. Sebab-sebab yang lain aku biarkan rakan-rakan sekalian yang tentukan. Sebagai penutur sesebuah bahasa, kitalah yang bertanggungjawab menentukan ke mana hala tuju sesebuah bahasa tersebut. Jadi, sebagai penutur, sudah semestinya jawapan pertukaran perkataan ini ada pada diri kita sendiri.

Kekeliruan antara Kata Majmuk Yang Belum Mantap dan yang Telah Mantap



Sekarang ini aku lihat ramai yang masih silap menulis apabila melibatkan kata majmuk. Bukan sahaja orang lain, malahan aku sendiri juga sering melakukan kesilapan dalam ejaan kata majmuk. Jadi tulisan kali ini aku ingin berkongsi maklumat bersama-sama rakan sekalian  supaya selepas kita tidak lagi melakukan kesalahan dalam mengeja kata majmuk. Contoh perkataan yang sering aku tersilap eja adalah seperti; temuramah, temujanji, lebuh raya dan banyak lagi. Kata nama majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh disisipkan sebarang unsur. Kesalahan ejaan ini semakin menjadi-jadi dan bukan hanay berlaku dalam penulisan biasa sahaja malahan turut berlaku pada di papan-papan tanda. Contohnya:


Ejaan kata majmuk 'lebuh raya' yang salah
Sepatutnya perkataan 'lebuh raya di atas di eja secara terpisah kerana tergolong dalam kategori kata majmuk yang belum mantap. Selalunya kesalahan dalam tulisan berlaku apabila kita keliru antara kata majmuk yang sudah mantap dengan kata majmuk yang belum mantap. Kata majmuk yang telah mantap ialah kata majmuk yang dieja sebagai satu perkataan iaitu dieja rapat. Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:
                                                                                                   
                                 Antarabangsa                                                  beritahu
                                 Bumiputera                                                     jawatankuasa
                                 Kakitangan                                                      kerjasama
                                Olahraga                                                          matahari
                                Setiausaha                                                        sukarela
                                Suruhanjaya                                                     tandatangan               
                                Tanggungjawab                                                warganegara
                                Pesuruhjaya

Kata majmuk yang belum mantap pula haruslah dieja secara terpisah. Contohnya, kerusi malas, meja tulis, surat khabar dan lain-lain. Jadi, diharap dengan perkongsian ilmu pada kali ini dapatlah kita sama-sama memperbaiki cara penulisan kita.



Unsur Lewah dalam Iklan


Assalamualaikum…
Minggu ini aku ingin mengemukakan pandangan aku tentang unsur lewah dalam ayat yang menggunakan kata adjektif terutamanya dalam iklan bagi melariskan sesuatu produk. Baru-baru ini aku ada membaca sebuah iklan yang ditampal pada tiang elektrik. Iklan tersebut berbunyi begini, “Kedai kami menjual pelbagai jenis barangan dengan harga yang teramat murah sekali. Seperti yang kita telah ketahui, iklan dibuat untuk mempromosikan sesuatu. Iklan biasanya menggunakan retorik pemujukan yang turut dikenali sebagai retorika pengaruhan. Melalui retorika jenis ini pengiklan berusaha untuk mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan dan pandangan orang yang membaca atau menontonnya. Retorika pemujukan menggunakan kata penguat seperti lebih, paling, sangat, amat, sungguh, sekali, dan sebagainya. Penggunaan kata penguat dalam iklan ini biasanya diikuti dengan kata adjektif. Contohnya, paling murah, sangat cantik, sunggah bijak dan banyak lagi. Penggunaan kata penguat dalam iklan dapat meyakinkan pembaca atau penonton bahawa barang tau perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka adalah yang terbaik. Namun begitu, aspek tatabahasa tidak seharusnya diletak ke tepi.

Contohnya seperti ayat promosi di atas. Pihak yang terlibat tersebut cuba meyakinkan orang ramai bahawa barangan yang ditawarkan di kedai mereka betul-betul murah dengan meletakkan kata penguat di situ. Namun, mereka tidak sedar bahawa penambahan kata penguat secara sewenang-wenangnya boleh menyebabkan ayat itu menjadi lewah. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan lewah membawa maksud berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu. Unsur lewah ini sering hadir dalam ayat yang menggunakan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan. Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara yang berikut:

                                i.            se- + kata adjektif +gandaan + kata nama
Penanda darjah penghabisan ialah se- dan gandaan. Contohnya: Sepandai,pandai tupai, setinggi-tinggi gunung dan lain-lain lagi.

                              ii.            Ter + kata adjektif
Penanda darjah penghabisan ialah awalan ter- . Contohnya: terpandai, tertinggi, terbaik dan lain-lain.

                            iii.            Paling + kata adjektif
Penanda darjah penghabisan ialah kata penguat paling yang hadir sebelum kata adjektif. Contohnya: paling pandai, paling cantik, paling cerdik dan lain-lain.

                            iv.            Kata adjektif + sekali
Penanda darjah penghabisan ialah kata adjektif diikuti oleh penguat sekali. Contohnya: pandai sekali, tinggi sekali, baik sekali dan lain-lain.

                              v.            Ter- + amat + kata adjektif
Awalan ter- yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan. Contohnya: teramat pandai, teramat baik, tersangat cantik dan lain-lain.

                            vi.            Amat, sungguh, sanagt + kata adjektif + sekali
Binaan darjah penghabisan juga boleh menerima kata penguat belakang sekali dengan kata penguat bebas, amat, sangat, atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif. Contohnya: amat pandai sekali, sungguh bijak sekali, sangat baik sekali dan lain-lain.

Setelah meneliti penerangan di atas, di dapati tidak ada pola ter- + amat + kata adjektif + sekali dalam yang menggunakan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan. Dalam kita tidak sedar kita telah membuat kesalahan tatabahasa. Penggunaan kata penguat darjah penghabisan yang berlebihan dan tidak menepati sistem polanya boleh menyebabkan ayat tersebut menjadi lewah. 


Sunday, 30 September 2012

SAM: SAYA AMAT MENCINTAIMU







                                                           Saya Amat Mencintaimu




Baru-baru ini aku telah menonton filem SAM yang diarahkan oleh seorang pengarah muda iaitu Syafiq Yusuf, anak Yusuf Haslam dan adik kepada pengarah yang berbakat besar Shamsul Yususf. Setelah menonton cerita tersebut, aku dapati kreaviti  Syafiq Yusuf amat tinggi dalam menghasilkan sebuah cerita yang tidak disangka-sangka oleh penonton. Banyak teknik penceritaan yang dimasukkan termasuklah unsur suspen membuatkan penonton tidak jemu menonton hingga ke penghabisan cerita.

Unsur suspen ialah peristiwa yang mendebarkan atau mencemaskan atau pun yang menjadi tanda tanya kepada penonton sehingga boleh menimbulkan ketegangan atau peristiwa yang menyebabkan penonton tertanya-tanya. Dalam cerita SAM , Syafiq Yusuf berjaya menyembunyikan perkara yang akan berlaku seterusnya sehingga menimbulkan tanda tanya dalam diri penonton. Misalnya dalam babak Sam balik ke rumah dan mendapati pintu belakang rumahnya dipecah masuk tetapi tidak kelihatan sesiapa pun di dalam rumah. Babak ini berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya. Adakah ada seseorang di dalam rumah tersebut? Adakah Haikal yang pecah masuk ke rumahnya atau pun pencuri? Banyak tanda tanya timbul dalam setiap babak suspen yang ditonjolkan.

Selain unsur suspen, pengarah muda tersebut turut menunjukkan unsur konflik dalam diri watak utama dalam cerita tersebut iaitu Saheizy Sam. Konflik ialah pertentangan atau perselisihan antara individu atau antara dua pihak atau lebih. Ada dua jenis konflik iaitu konflik dalaman dan konflik luaran. Konflik dalaman ialah pertentangan yang berlaku dalam jiwa seseorang waima konflik itu terjadi dalam fikiran, peraaan atau hatinya. Konflik dalaman dapat dilihat dalam babak Sam yang berperang dengan dirinya sendiri kerana mula melihat dua imej dirinya yang berperwatakan lain. Sam mula bercakap dengan diri sendiri sehingga dilabelkan sebagai gila oleh orang kampung. Konflik luaran pula ialah pertentangan sama ada pertentangan secara melintang seperti antara manusia sesama manusia, manusia dengan alam atau pertentangan secara menegak iaitu manusia dengan pencipta. Dalam cerita SAM berlaku pertentangan secara melintang iaitu pertentangan antara manusia dengan manusia iaitu dirinya sendiri.

Penggunaan bahasanya juga teratur dan sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Terdapat filem masa kini yang menggunakan bahasa-bahasa yang rosak seperti bahasa pasar, bahasa kesat dan bahasa rojak. Penggunaan bahasa yang tidak betul boleh mempengaruhi penonton yang menontonnya. Seharusnya filem yang dihasilkan haruslah mempunyai nilai-nilai yang baik supaya menjadi ikutan dan taulada kepada orang ramai. Bila diamati kembali, filem SAM ini ada sedikit sebanyak persamaan dengan novel yang dihasilkan oleh Novelis Thriller No. 1 di Malaysia iaitu Ramli Awang Murshid. Kedua-dua ahli sastera ini menghasilkan cerita berkenaan seseorang yang mengalami gangguan mental atau lebih khusus lagi kecelaruan identiti. Jadi, bagi sesiapa yang belum menonton filem SAM aku ucapkan selamat menonton. Sokonglah industry perfileman kita.

Penggunaan bahasa Inggeris untuk menamakan sesuatu tempat


Semasa di dalam kelas aku diberikan kertas edaran tentang sebuah karnival yang akan diadakan di kolej Za’ba. Fikiranku mula terbayangkan geraigerai yang berderetan menjual pelbagai jenis pakaian dan makanan tetapi bila difikirkan kembali tempat acara tersebut aku jadi malas. Terpaksalah aku mengambil bas untuk ke Kolej Za’ba, Proton City. Tiba-tiba aku terperasan nama tempat tersebut diletakkan dalam bahasa Inggeris. Kenapakah nama tempat ini diletakkan dalam bahasa Inggeris? Kedengaran seperti bukan berada di Malaysia pula. Bukankah lebih elok menggunakan bahasa kebangsaan kita untuk menamakan sesuatu tempat?
Walaupun terdapat tempat-tempat lain yang dipanggil dalam bahasa Inggeris namun nama asalnya adalah dalam bahasa Melayu. Contohnya Menara Kuala Lumpur lebih dikenali sebagai KL Tower, Menara Berkembar Petronas dikenali sebagai Twin Tower. Namun Proton City tidak pula mempunyai nama dalam bahasa Melayunya. Secara terangan papan tanda ke situ menulis Proton City. Kenapa tidak diletakkan nama Bandar Proton sahaja? Bukankah lebih elok menggunakan bahasa kebangsaan kita yang lebih melambangkan kejatian diri kita. Jika kita lihat dari segi perkataan proton itu sendiri telah menunjukkan jati diri Malaysia kerana proton merupakan jenama kereta Negara yang dicetuskan oleh Tun Mahathir Mohamad semasa beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri suatu ketika dahulu.
PROTON (singkatan untuk Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd) yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar sebanyak 150 juta ringgit, merupakan pengeluar kerata pertama Malaysia Penubuhannya merupakan gagasan Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri ketika itu, untuk mencapai aspirasi negara menuju ke arah perindustrian. Tugas berat ini disokong oleh Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (HICOM), serta rakan-rakan usaha sama dari seberang laut. Pemegang saham terdiri daripada Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (70%), Mitsubishi Motors Corporation, Jepun (15%) dan Mitsubishi Corporation, Jepun (15%). Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohammad berasaskan idea beliau kepada presiden Mitsubishi semasa lawatan beliau ke Malaysia pada tahun 1981. Kemudian pada bulan Februari 1982, satu pasukan projek ditubuhkan di HICOM bagi membuat penyelidikan dan menandatangani perjanjian dengan Mitsubishi. Jadi, perlukah suatu kawasan yang menggunakan nama atau lambang yang menjadi kebanggaan Malaysia menggunakan pengaruh bahasa Inggeris?


Susahnya nak buang bahasa dialek...


Hari ini aku dan tiga orang lagi kawan aku dipanggil untuk buat sketsa di hadapan kelas. Sebaik pensyarah mengarahkan jari telunjuknya ke arah kami, jantung aku mula berdegup kencang. Seperti yang kuduga akhirnya kami berempat dipilih untuk melakonkan sketsa pendek di hadapan kelas. Pensyarahku hanya memberikan masa lima minit untuk merancang sketsa tersebut. Kami memang tidak dapat mencari idea apa yang harus dipersembahkan. Dalam tak sedar masa yang diberikan pun berlalu. Kami berempat dipanggil ke depan. Akhirnya terciptalah sebuah sketsa spontan daripada kami. Alhamdulillah berjaya juga kami persembahkan tetapi ramai yang tegur kami kerana menggunakan bahasa dialek  negeri Kedah yang terlalu pekat semasa sketsa tadi. Apa tidaknya, aku dan dua orang lagi kawanku tinggal di sebelah utara. Cuma seorang sahaja kawan aku yang tinggal di Johor. Yang paling melucukan, kawan aku yang johor pun  terikut bercakap dalam dialek Kedah semasa membuat persembahan  tadi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah atau pun negeri. Penggunaan dialek dapat memudahkan penegnalpastian edentiti asal seseorang. Dialeh berbeza antara negeri dan ada juga yang berlainan dialek digunakan walaupun tinggal dalam satu negeri. Keadaan ini dipanggil sebagai dialek daerah. Contohnya di Kedah. Dialek yang digunakan oleh penduduk di Bukit Kayu Hitam lebih pekat berbanding penduduk yang tinggal di daerah Yan dan Sungai Petani . Hal ini kerana pertuturan atau dialek yang dipakai oleh penduduk di kawasan Bukit Kayu Hitam banyak menerima pengaruh bahasa Thailand. Kebanyakan penduduk di situ boleh memehami bahasa Thailand dan terdapat juga sebahagiannya yang dapat bertutur dalam bahasa tersebut dengan baik. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pertuturan seseorang turut dipengaruhi oleh penempatan dan golongan sosial di sekelilingnya.

 Dialek antara negeri juga dapat dilihat dari segi persamaan dan perbezaannya. Contohnya negeri-negeri di sebelah utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara bercakap menggunakan dialek yang lebih kurang sama. Jika proses komunikasi antara penduduk berlainan negeri ini berlaku, proses dalam memahami makna masih lagi jelas dan mesej dapat disampaikan dengan baik. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa perkataan yang ada atau wujud dalam dialek negeri lain tetapi tidak ada dalam dialek negeri yang satu lagi. Namun begitu, masalah pemehaman makna ini dapat diselesaikan dengan proses meneka atau menjangka maksud perkataan tersebut berdasarkan ayat yang dituturkan. Dialek antara negeri-negeri di sebelah utara amat berbeza dengan dialek yang digunakan oleh penduduk di sebelah Pantai Timur. Perbezaan dari segi bunyi bahasa amat menyukarkan proses pemahaman maksud walaupun setelah menggunakan teknik menjangka maksud.

Penjelasan di atas jelas mengupas sebab ramai kawan sekelasku menegur kami setelah mempersembahkan sketsa dalam dialek kami sendiri. Seharusnya kami menggunakan bahasa standard semasa dalam kelas kerana bukan semua orang boleh memahami apa yang ingin kami sampaikan. Insyaallah aku akan cuba perbaiki lagi cara aku berbahasa supaya proses komunikasi dengan orang lain dapat berlaku dengan berkesan.

Bahasa ‘chatting’?


Hari ini aku ingin bercakap tentang bahasa ‘chatting’ yang sering digunakan oleh golongan remaja masa kini. Dari hari ke hari aku lihat singkatan perkataan yang digunakan semasa ‘chatting’ semakin teruk. Kesalahan dalam ejaan tidak lagi dipandang sebagai suatu yang serius tetapi lebih menitikberatkan soal bunyi perkataan yang ditulis. Asalkan pembaca dapat membunyikan perkataan tersebut, ejaan perkataan tersebut dianggap lengkap walaupun ejaannya salah dari segi nahu tatabahasa. Kadang-kadang sampai hendak tergeliat lidah aku nak menyebut kembali apa yang dieja oleh mereka. Contahnya:

Blew nak kuaw niew?
Skunk ktew nk gi ner niew?
Napew skunk ko laen jew?

Ayat-ayat seperti inilah yang membuat aku menyampah nak baca. Baca pun aku dah menyampah apatah lagi nak membalas. Dalam bahasa Melayu ringkasan dalam penulisan dibolehkan tetapi janganlah sampai merosakkan bahasa tersebut. Bukankah lebih elok dan manis dipandang jika ayat tersebut dieja menggunakan ejaan yang betul? Contohnya:

Sungai = sg.
Nombor = no.
Kampung = kg.

Apabila aku memberi contoh-contoh di atas mesti ramai yang cakap perkataan-perkataan di atas mana ada selalu guna dalam ‘chat’. Kita boleh membuat singkatan tetapi singkatan perkataan tersebut haruslah jela dan senang difahami. Seperti contoh perkataan ‘skunk’ di atas berkemungkinan orang yang membacanya akan terkeliru dengan maksud yang ingin disampaikan kerana terdapat haiwan dalam bahasa Inggeris yang dipanggil ’skunk’. Jika kekeliruan maksud berlaku, mesej yang ingin disampaikan oleh penulis tidak akan dapat disampaikan dengan berkesan. Ejaan dalam bahasa Melayu bukan dibuat sewenang-wenangnya. Setiap ejaan dibuat berdasarkan sistem tertentu. Sistem ertinya mempunyai aturan-aturan atau rumus-rumus yang pasti dan teratur. Semua bahasa di dunia ini mempunyai sejumlah unit bahasa seperti fonem, morfem, kata, frasa dan ayat. Tiap-tiap bahasa itu ialah ahasil daripada percantuman unit tersebut. Hal inilah yang dikatakan bersistem. Jadi kita sebagai penutur sesuatu bahasa hendaklah sentiasa menjaga dan menggunakan bahasa yang betul sama ada semasa bertutur mahu pun menulis. Contohnya sistem keselarasan vokal. Terdapat 18 pola keselarasan vokal dalam bahasa Melayu.

                         a – a (apa)                               i – i (ini)                                  u –u (bulu)                  
                         e-a (amak)                              e – i (keli)                                e – u (gebu)
                         e – a (bela)                              e – o (elok)                             e – e (penyek)
                         o – a (opah)                            o – e (golek)                            o – o obor
                         i – a (ikan)                               i – u (tikus)                              u – a (ular)
                         u – i (cuci)                               a – i (api)                                 a – u (paku)

Selain memberi kesan kepada kejelasan sesuatu mesej yang ingin disampaikan, penggunaan ringkasan ejaan ini turut memberi kesan kepada penulisan terutamanya para pelajar. Jika para pelajar sering ‘chating’ dengan menggunakan bahasa ringkasan dikhuatiri mereka turut akan mengaplikasi ejaan tersebut dalam penulisan mereka. Kesimpulannya, gunakanlah bahasa yang betul walaupun kita hanya sekadar ‘chatting’ suka-suka.