Friday, 12 October 2012

Pasangan Rujukan Hormat


Assalamualaikum...
Pada entri kali ini aku ingin berkongsi tentang rujukan hormat dan pasangannya. Aku baru beroleh ilmu yang jelas berkenaan rujukan hormat ini pada pagi tadi. Selama ini ketika di perhimpunan sekolah rujukan hormat yang digunakan  untuk guru-guru hanyalah Yang Berusaha. Hal ini membuat aku sering tertanya-tanya mengapa pengacara majlis tidak pelbagaikan atau menggunakan rujukan hormat yang berbeza antara pengetua dengan guru-guru lain sedangkan pengetua lebih tinggi pangkatnya berbanding guru-guru lain. Pada pandangan aku pada waktu itu, sepatutnya pengetua menggunakan rujukan hormat yang lebih tinggi berbanding guru-guru di bawahnya. Contohnya Yang Berbahagia atau Yang Berhormat kemudian barulah disusuli dengan Yang berusaha yang merujuk kepada guru-guru lain.

Pada pagi tadi, barulah aku tahu bahawa rujukan hormat ini tidak boleh diletak sewenang-wenangnya tanpa melihat terlebih dahulu pangkat atau gelaran yang dipegang oleh seseorang. Contohnya rujukan Yang Berhormat. Rujukan hormat Yang Berhormat hanya boleh digunakan pada seseorang yang dipilih melalui proses tertentu seperti Wakil Rakyat, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat. Di sini aku sertakan rujukan hormat serta pasangannya supaya rakan sekalian tidak melakukan kesalahan yang sama dengan aku.

Rujukan hormat
Orang yang disapa
Yang Mulia
Bergelar warisan seperti Tengku, Raja
Yang Amat Mulia
Anak kepada raja yang sedang memerintah
Yang Teramat Mulia
Kerabat raja yang bergelar
Duli Yang Teramat Mulia
Raja Muda
Yang Maha Mulia
Balu Almarhum Sultan
Duli Yang Maha Mulia
Sultan, Sultanah, Raja Perempuan
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong
Yang Berbahagia
Bergelar anugerah seperti Tan Sri, Datuk, Profesor, Doktor
Yang Amat Berbahagia
Tun dan Toh Puan
Yang Arif
Hakim
Yang Amat Arif
Ketua Hakim Negara
Yang Berhormat
Orang yang dipilih melalui proses tertentu seperti Wakil Rakyat, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ahli Dewan Rakyat
Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri
Yang Setia
Pegawai tentera dan polis
Yang Amat Setia
Ketua turus tentera dan polis
Yang Berusaha
Pegawai yang tidak bergelar
Sahibus-Samahah
Mufti
Sahibus-Fadilah
Ulama, kadi
Sahibus-Saadah
Pengarah Jabatan Agama
Tuan Yang Terutama
Yang Dipertua Negeri, Gabenor, Duta.

Setelah diteliti dapat kita lihat bahawa pengetua dan guru berada dalam kategori yang sama iaitu pegawai yang tidak bergelar. Jadi penggunaan rujukan hormat yang betul ialah Yang Berusaha Tuan Pengetua, Yang Berusaha Guru Kanan Kokurikulum dan sebagainya.

Imbuhan Awalan swa-


Assalamualaikum…
Hari ini aku ingin berkongsi tentang imbuhan awalan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit. Terdapat banyak imbuhan awalan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit iaitu maha-, tata-, pra-, swa-, pasca, dan banyak lagi. Aku tidak akan mengupas satu persatu semua imbuhan awalan yang diambil daripada bahasa Sanskrit sebaliknya aku hanya ingin mengupas berkenaan awalan swa-. Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan swa-? Semestinya ramai dalam kalangan rakan sekalian yang tidak mengetahui maksud imbuhan ini malahan  pasti ada yang tidak pernah mengetahui adanya imbuhan perkataan ini. Awalan swa- digunakan untuk menerbitkan kata nama yang memberi makna sendiri. Awalan ini mempunyai potensi untuk menjadi awalan yang produktif. Walaupun penggunaannya agak terbatas tetapi jika diamalkan dalam percakapan seharian imbuhan ini boleh menjadi awalan yang produktif dan dapat membentuk banyak perkataan dan makna. Contoh perkataan yang menggunakan imbuhan awalan swa adalah seperti yang berikut:

IMBUHAN + PERKATAAN
MAKSUD
swa + daya
swadaya (kekuatan sendiri)
swa + asta
swata (berdiri sendiri)
swa + tenaga
swatenaga (tenaga sendiri)
swa + layan
swalayan (layan sendiri)


Aku juga merasa kekok untuk menggunakan imbuhan ini tetapi bagi perkataan yang mudah dan senang difahami aku rasa imbuhan swa- ini boleh digunakan. Contohnya perkataan swalayan. Jika papan tanda di gerai makan menukar perkataan layan diri kepada swalayan, orang ramai masih lagi dapat memahami maksud yang ingin disampaikan. Jadi sama-samalah kita memperkayakan bahasa kita. Wassalam…

Terbalik atau Terkalih?


Aku mempunyai masalah untuk membuat dan menuturkan ayat lisan yang menggunakan perkataan terbalik. Aku selalunya akan menukar perkataan tersebut dengan perkataan terkalih. Sebelum ini aku tidak menyedari kesalahan yang aku lakukan kerana menganggap kedua-dua perkataan ini menyatakan maksud yang sama iaitu songsang atau berubah sama sekali kedudukannya. Contoh kesalahan lisan yang aku lakukan ialah:

Kenapa kau pakai baju terkalih?
Mak pakai tudung terkalih ke?
Adik pakai kasut terkalih tu.

Setiap hati aku menggunakan ayat yang salah tanpa menyedarinya. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh gaya pertuturanku yang dibawa sejak kecil tidak ditegur oleh orang yang lebih dewasa. Lama-kelamaan gaya pertuturan tersebut telah menjadi sebati dengan cara prtuturanku. Namun semenjak di universiti ramai dalam kalangan kawan yang menegur ketika aku bercakap. Oleh sebab rasa tidak puas hati dengan teguran yang diterima aku mengambil inisiatif sendiri dengan menyemak perkataan tersebut di dalam kamus dewan. Ternyata aku yang salah. Perkataan kalih membawa maksud berpaling manakala perkataan terbalik pula membawa maksud songsang atau kedudukan yang tidak betul. Sememangnya ayat yang aku tuturkan selama ini salah. Kini aku cuba memperbaiki pertuturanku supaya tidak salah dan dapat difahami dengan jelas oleh kawan-kawanku. 

Orang Utan Togel?


Gambar hiasan

Hari ini aku rasa malas sangatuntuk melakukan sebarang aktiviti. Dari pagi hinggalah ke tengah hari aku masih lagi berbaring di atas katil. Perut yang bernyanyi rancak aku biarkan sahaja. Tiba-tiba aku rasa teringin pula hendak makan cucur udang tetapi apabila terfikirkan taugeh di dalamnya, aku jadi tidak berselera. Sejak  kecil lagi aku tidak sukakan rasa taugeh yang ada di dalam cucur udang kerana rasanya yang agak mentah. Apabila aku fikirkan tentang taugeh fikiranku mula teringat kembali pada pembacaanku tidak lama dulu. Seingatku aku membacanya di halaman sebuah akhbar berkenaan seekor orang utan. Aku tidak pasti nama sebenar orang utan tersebut jadi aku letakkan di sini sebagai Aru. Tajuknya lebih kurang berbunyi begini ‘Si Aru orang utan yang togel’. Artikel tersebut adalah berkenaan seekor orang utan yang sudah gugur bulunya akibat dimamah usia. Sememangnya gambar pada artikel tersebut jelas menunjukkan orang utan tersebut telah gugur semua bulunya sehingga menyebabkan dia menjadi tumpuan orang ramai yang datang ke situ kerana ia kelihatan lain daripada orang utan yang lain.

Pada mulanya aku menganggap perkataan togel membawa maksud yang sama dengan perkataan bogel iaitu tidak berpakaian. Semua binatang termasuk orang utan tidak berpakaian tetapi anggapanku penulis cuba menyamakan pakaian manusia itu dengan bulu pada orang utan. Namun, setelah aku semak semula di dalam kamus dewan, perkataan togel sebenarnya membawa maksud tidak berekor. Maksud ini jelas terpesong jauh dari maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis tersebut. Artikel yang pada awalnya ingin menekankan tentang keguguran bulu orang utan akibat usia yang semakin meningkat bertukar menjadi orang utang yang tidak berekor padahal orang utan tersebut normal. Namun, apabila difikirkan kembali patutkah tajuknya ditukar kepada orang utan yang bogel, sedangkan kenyataannya orang utan memang tidak berpakaian? Aku menjadi keliru. Sama-samalah kita fikirkannya. Wassalam…

Thursday, 11 October 2012

Senyum Seindah Suria


Setelah beberapa minggu berada dalam zon selesa dengan adanya duit PTPTN, kini aku mula terasa sesaknya. Dompetku yang dulunya diisi dengan kertas-kertas berwarna merah mula bertukar dengan warna biru dan hijau sahaja. Jadi aku mengambil keputusan untuk mula berjimat bagi mengelakkan leteran ibuku jika dia mengetahui duitku telah banyak susut. Minggu ini adalah tarikh permulaan aku untuk menjadi seorang yang berjimat-cermat. Bagi mengelakkan aku membeli makanan yang mahal-mahal terpaksalah aku memasak sendiri dan tempat yang paling senang mendapat barangan dengan harga yang paling murah ialah pasar malam kerana di situ harganya boleh ditawar.

Pada mulanya aku singgah di gerai sayur yang terletak di barisan hadapan keranan malas mahu bersesak dengan orang ramai untuk ke gerai di bahagian belakang. Namun sikap penjual yang langsung tidak pandai melayan pelanggan membuatkanku rasa menyampah dan geram sangat. Timbul persoalan di hatiku bagaimana orang yang sombong seperti penjual ini boleh menjadi seorang penjual sedangkan pekerjaan sebagai penjual itu harus berurusan dengan orang ramai. Semestinya dia harus berkomunikasi dan menunjukkan sikap ramah dengan pelanggan-pelanggannya. Tiada segaris senyuman pun di bibir penjual tersebut. Aku cuba juga memberi senyuman ketika cuba mengambil bakul di hadapannya namun tetap diendahkannya. Akhirnya aku meletakkan kembali dan terus pergi ke gerai di bahagian belakang.

Susah sangatkah untuk kita mengukirkan senyuman? Pada aku memasamkan wajah dan membuat wajah ketat begitu lebih menyusahkan. Betapa indahnya senyuman keranan senyuman itu penyeri hidup. Jika orang senyum pada kita mesti kita terasa untuk membalasnya dan terjalinlah sebuah ikatan. Ikatan itu tidak nampak pada mata kasar, tetapi dihati. Di sini aku kongsikan lirik lagu Senyum Seindah Suria yang mengajar kita betapa indahnya senyuman itu.


Senyum seindah suria
Yang membawa cahaya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum...kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum...membahagiakan
Dengan senyuman
Terjalinlah...ikatan