Sunday, 30 September 2012

Bahasa ‘chatting’?


Hari ini aku ingin bercakap tentang bahasa ‘chatting’ yang sering digunakan oleh golongan remaja masa kini. Dari hari ke hari aku lihat singkatan perkataan yang digunakan semasa ‘chatting’ semakin teruk. Kesalahan dalam ejaan tidak lagi dipandang sebagai suatu yang serius tetapi lebih menitikberatkan soal bunyi perkataan yang ditulis. Asalkan pembaca dapat membunyikan perkataan tersebut, ejaan perkataan tersebut dianggap lengkap walaupun ejaannya salah dari segi nahu tatabahasa. Kadang-kadang sampai hendak tergeliat lidah aku nak menyebut kembali apa yang dieja oleh mereka. Contahnya:

Blew nak kuaw niew?
Skunk ktew nk gi ner niew?
Napew skunk ko laen jew?

Ayat-ayat seperti inilah yang membuat aku menyampah nak baca. Baca pun aku dah menyampah apatah lagi nak membalas. Dalam bahasa Melayu ringkasan dalam penulisan dibolehkan tetapi janganlah sampai merosakkan bahasa tersebut. Bukankah lebih elok dan manis dipandang jika ayat tersebut dieja menggunakan ejaan yang betul? Contohnya:

Sungai = sg.
Nombor = no.
Kampung = kg.

Apabila aku memberi contoh-contoh di atas mesti ramai yang cakap perkataan-perkataan di atas mana ada selalu guna dalam ‘chat’. Kita boleh membuat singkatan tetapi singkatan perkataan tersebut haruslah jela dan senang difahami. Seperti contoh perkataan ‘skunk’ di atas berkemungkinan orang yang membacanya akan terkeliru dengan maksud yang ingin disampaikan kerana terdapat haiwan dalam bahasa Inggeris yang dipanggil ’skunk’. Jika kekeliruan maksud berlaku, mesej yang ingin disampaikan oleh penulis tidak akan dapat disampaikan dengan berkesan. Ejaan dalam bahasa Melayu bukan dibuat sewenang-wenangnya. Setiap ejaan dibuat berdasarkan sistem tertentu. Sistem ertinya mempunyai aturan-aturan atau rumus-rumus yang pasti dan teratur. Semua bahasa di dunia ini mempunyai sejumlah unit bahasa seperti fonem, morfem, kata, frasa dan ayat. Tiap-tiap bahasa itu ialah ahasil daripada percantuman unit tersebut. Hal inilah yang dikatakan bersistem. Jadi kita sebagai penutur sesuatu bahasa hendaklah sentiasa menjaga dan menggunakan bahasa yang betul sama ada semasa bertutur mahu pun menulis. Contohnya sistem keselarasan vokal. Terdapat 18 pola keselarasan vokal dalam bahasa Melayu.

                         a – a (apa)                               i – i (ini)                                  u –u (bulu)                  
                         e-a (amak)                              e – i (keli)                                e – u (gebu)
                         e – a (bela)                              e – o (elok)                             e – e (penyek)
                         o – a (opah)                            o – e (golek)                            o – o obor
                         i – a (ikan)                               i – u (tikus)                              u – a (ular)
                         u – i (cuci)                               a – i (api)                                 a – u (paku)

Selain memberi kesan kepada kejelasan sesuatu mesej yang ingin disampaikan, penggunaan ringkasan ejaan ini turut memberi kesan kepada penulisan terutamanya para pelajar. Jika para pelajar sering ‘chating’ dengan menggunakan bahasa ringkasan dikhuatiri mereka turut akan mengaplikasi ejaan tersebut dalam penulisan mereka. Kesimpulannya, gunakanlah bahasa yang betul walaupun kita hanya sekadar ‘chatting’ suka-suka.

No comments:

Post a Comment