Sunday, 30 September 2012

BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA


Minggu pertama masuk semester baru memang menyeronokkan. Istilah kertas kerja, jurnal, rujukan, perpustakaan, perbentangan dan lain-lain yang sewaktu dengannya memang tidak ada langsung dalam otak aku. Yang ada hanyalah kegembiraan berjumpa dengan kawan-kawan yang dah lama tak jumpa (sebab cuti semester), dapat melayari internet percuma kat rumah sewa dan yang paling penting kegembiraan menghabiskan duit PTPTN yang baru masuk. Dalam pada aku mengisi masa-masa terluang pada minggu pertama, suatu malam yang sangat sunyi aku pun mengambil keputusan untuk menonton drama pentas yang dilakonkan oleh pelawak terkenal Malaysia pada masa kini di laman sesawang youtube. Pada mulanya aku rasakan jalan cerita yang ingin disampaikan agak menarik namun lama-kelamaan aku menjadi geram pula dengan pelawak tersebut.

Pelawak tersebut menjadikan kesalahan dalam bertutur sebagai ‘trade mark’ dalam wataknya. Perkataan yang tidak boleh menerima imbuhan diletakkan imbuhan dan bagi perkataan yang memerlukan imbuhan bagi melengkapkan ayat pula dibuang  imbuhannya. Disamping itu itu, pelawak tersebut turut menggunakan ayat tunggang terbalik selain menggunakan perkataan yang tidak sesuai sehingga menyebabkan kekeliruan makna dan merosakkan bahasa. Menurut Ferdinand de Sausure bahasa ialah satu sistem isyarat yang memiliki bahagian terpenting berupa gabungan daripada makna dan imej bunyi dan kedua-dua itu dalam rantaian ucapan menurut tatabahasa yang bersifat psikologi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesuatu bahasa yang dituturkan haruslah mengikut hukum tatabahasa yang betul. Dalam kes pelawak di atas, adakah ayat yang dituturkan olehnya boleh dianggap sebagai satu bahasa kerana bahasa asal tersebut telah rosak kegramatisan dan maknanya? Lain pula keadaannya  jika dia melakonkan watak gagap atau sengau kerana itu adalah satu satu masalah berbahasa yang semula jadi.

Sebagai seorang pelawak terkenal, dia harus faham bahawa setiap yang dilakukannya akan menjadi tontonan dan ikutan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Perkara ini akan memberi pengaruh yang besar kepada perkembangan bahasa kanak-kanak. Seperti yang kita ketahui, kanak-kanak belajar melalui proses peniruan daripada orang dewasa. Kini media massa terutamanya media elektronik memainkan peranan penting dalam proses penyebaran maklumat. Pada pendapat anda, adakah kanak-kanak dapat menyaring penggunaan bahasa yang salah daripada pelawak tersebut? Semestinya tidak, malahan ada yang terikut-ikut sehingga menjadikan penambahan sesuatu perkataan yang tidak sepatutnya dalam sesuatu ayat sebagai cara percakapan yang baru. Jika keadaan ini berterusan, perkembangan bahasa kanak-kanak tersebut akan terjejas kerana dia tidak dapat membezakan percakapan yang betul dengan percakapan yang salah. Kesalahan dalam berbahasa ini kemudiannya dipraktikalkan dalam kehidupan seharian sama ada dalam bentuk lisan mahu pun tulisan. Inikah yang dikatakan ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain.  Jadi, masih relevankah penggunaan ungkapan ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ kalau bangsa kita sendiri yang merosakkan bahasa kita? Sama-samalah kita fikirkan. Wassalam…

No comments:

Post a Comment