Assalamualaikum…
Minggu
ini aku ingin mengemukakan pandangan aku tentang unsur lewah dalam ayat yang
menggunakan kata adjektif terutamanya dalam iklan bagi melariskan sesuatu
produk. Baru-baru ini aku ada membaca sebuah iklan yang ditampal pada tiang
elektrik. Iklan tersebut berbunyi begini, “Kedai kami menjual pelbagai jenis
barangan dengan harga yang teramat murah sekali. Seperti yang kita telah
ketahui, iklan dibuat untuk mempromosikan sesuatu. Iklan biasanya menggunakan
retorik pemujukan yang turut dikenali sebagai retorika pengaruhan. Melalui
retorika jenis ini pengiklan berusaha untuk mengubah dan mempengaruhi
pemikiran, keyakinan dan pandangan orang yang membaca atau menontonnya.
Retorika pemujukan menggunakan kata penguat seperti lebih, paling, sangat,
amat, sungguh, sekali, dan sebagainya. Penggunaan kata penguat dalam iklan ini
biasanya diikuti dengan kata adjektif. Contohnya, paling murah, sangat cantik,
sunggah bijak dan banyak lagi. Penggunaan kata penguat dalam iklan dapat
meyakinkan pembaca atau penonton bahawa barang tau perkhidmatan yang ditawarkan
oleh mereka adalah yang terbaik. Namun begitu, aspek tatabahasa tidak
seharusnya diletak ke tepi.
Contohnya
seperti ayat promosi di atas. Pihak yang terlibat tersebut cuba meyakinkan
orang ramai bahawa barangan yang ditawarkan di kedai mereka betul-betul murah
dengan meletakkan kata penguat di situ. Namun, mereka tidak sedar bahawa
penambahan kata penguat secara sewenang-wenangnya boleh menyebabkan ayat itu
menjadi lewah. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan lewah membawa
maksud berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak
perlu. Unsur lewah ini sering hadir dalam ayat yang menggunakan kata adjektif
dalam ungkapan darjah penghabisan. Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan
darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara yang berikut:
i.
se- + kata adjektif +gandaan + kata nama
Penanda
darjah penghabisan ialah se- dan gandaan. Contohnya: Sepandai,pandai tupai,
setinggi-tinggi gunung dan lain-lain lagi.
ii.
Ter + kata adjektif
Penanda
darjah penghabisan ialah awalan ter- . Contohnya: terpandai, tertinggi, terbaik
dan lain-lain.
iii.
Paling + kata adjektif
Penanda
darjah penghabisan ialah kata penguat paling yang hadir sebelum kata adjektif.
Contohnya: paling pandai, paling cantik, paling cerdik dan lain-lain.
iv.
Kata adjektif + sekali
Penanda
darjah penghabisan ialah kata adjektif diikuti oleh penguat sekali. Contohnya:
pandai sekali, tinggi sekali, baik sekali dan lain-lain.
v.
Ter- + amat + kata adjektif
Awalan
ter- yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir
sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan. Contohnya: teramat
pandai, teramat baik, tersangat cantik dan lain-lain.
vi.
Amat, sungguh, sanagt + kata adjektif +
sekali
Binaan
darjah penghabisan juga boleh menerima kata penguat belakang sekali dengan kata
penguat bebas, amat, sangat, atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif.
Contohnya: amat pandai sekali, sungguh bijak sekali, sangat baik sekali dan
lain-lain.
Setelah
meneliti penerangan di atas, di dapati tidak ada pola ter- + amat + kata
adjektif + sekali dalam yang menggunakan kata adjektif dalam ungkapan darjah
penghabisan. Dalam kita tidak sedar kita telah membuat kesalahan tatabahasa.
Penggunaan kata penguat darjah penghabisan yang berlebihan dan tidak menepati
sistem polanya boleh menyebabkan ayat tersebut menjadi lewah.
No comments:
Post a Comment