Thursday, 4 October 2012

Khalayak atau Khayalak?


Minggu ini bermulalah kekalutan dalam menyiapkan perbentangan kerana semua subjek memilih minggu keempat untuk memulakan perbentangan. Nasib aku agak baik semester ini kerana kumpulan aku rata-ratanya memperoleh giliran yang agak lambat untuk membuat perbentangan. Selalunya kumpulan akulah yang dipilih sebagai kumpulan pertama yang membuat perbentangan. Sekurang-kurangnya kumpulan aku mempunyai lebih masa untuk menyiapkan semua tugasan.

Aku dan kawan-kawanku hanya menjadi pemerhati pada minggu ini kerana giliran kami lambat lagi. Sedang khusyuk aku mendengar perbentangan yang dibuat oleh kumpulan lain tiba-tiba aku terdengar pembentang itu menyebut perkataan ‘khayalak’. Aku dan kawan-kawanku saling berpandangan dengan muka yang sangat lucu. Maklumlah masing-masing menahan tawa dari terlepas. Takut terganggu perbentangan yang dijalankan. Bukan pertama kali aku mendengar penutur menuturkan perkataan ‘khalayak’ menjadi ‘khayalak’. Malahan aku sendiri juga kadang-kadang tersasul ketika menyebut perkataan itu terutamanya ketika bercakap dengan laju. Aku tertanya-tanya apa yang menyebabkan ramai dalam kalangan kita tertukar perkataan ‘khalayak’ menjadi ‘khayalak’ padahal dalam kamus dewan tidak wujud pun perkataan khayalak. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan khalayak didefinisikan sebagai orang ramai, umum, pembaca, pendengar atau penonton sesuatu ciptaan sastera atau seni. Perkataan ‘khayalak’ pula tidak wujud langsung dalam Kamus Dewan.

Dari manakah kita memperoleh perkataan ‘khayalak’ tersebut? Persoalan itu terus tidak mendapat jawapan khusus hingga kini. Jadi aku menganggap sikap kita sendiri yang menyebabkan kita tersilap sebutan semasa bercakap. Sikap di sini bermaksud sikap kita yang sering membalikkan perkataan menyebabkan kita terbiasa menyebaut perkataan tersebut secara salah. Contohnya; perkataan ‘confident’ ditukar menjadi ‘condifent’, 'gajus' ditukar menjadi 'jagus' dan banyak lagi. Pada aku, berkemungkinan ini adalah salah satu sebab kita selalu tertukar perkataan dan bunyinya. Sebab-sebab yang lain aku biarkan rakan-rakan sekalian yang tentukan. Sebagai penutur sesebuah bahasa, kitalah yang bertanggungjawab menentukan ke mana hala tuju sesebuah bahasa tersebut. Jadi, sebagai penutur, sudah semestinya jawapan pertukaran perkataan ini ada pada diri kita sendiri.

1 comment:

  1. Terbaik, TK kerana memberi penjelasan. Nak tanya, yg mana sepatutnya digunakan di antara 'Penjarakan sosial dan penjarakkan sosial'.
    Memang lazimnya digunakan penjarakan sosial. Untuk saya, penjarakan sosial membawa maksud memenjarakan sosial (penjara-kan sosial). Ada tak apa-apa penerangan untuk ini? Minta pencerahan. Kalau dapat, emel geneshkumar11@yahoo.com. TK

    ReplyDelete